Persoalan-persoalan berkaitan penyalahgunaan dadah, hukuman, dan dekriminalisasi (penyahjenayahan) penggunaan dadah

1) Suspek

Pemulihan dadah memerlukan sokongan yang lebih menyeluruh daripada sekadar dimasukkan ke dalam pusat pemulihan. Pemisahan pengguna dadah daripada masyarakat dengan memasukan mereka ke dalam pusat pemulihan bukanlah jalan terbaik untuk membantu pengguna dadah. Apa yang penting adalah penerimaan masyarakat terhadap mereka yang merupakan sistem sokongan paling ampuh yang boleh kita berikan mereka sejajar dengan hak asasi mereka sebagai manusia. Keperluan mereka seperti mempunyai tempat perlindungan, perkerjaan yang stabil, mempunyai keluarga dan meneruskan pengajian merupakan fitrah mereka sebagai seorang insan. Namun begitu, hak-hak begini telah dinafikan dengan rekod-rekod pemenjaraan dan juga stigma masyarakat yang menghalang proses reintegrasi mereka ke dalam masyarakat lalu melorong mereka untuk kembali mengulangi kesalahan yang sama dan melakukan jenayah. Secara tidak langsung, polisi semasa menggalakkan kitaran kemiskinan di kalangan mereka dan menyukarkan mereka untuk berintergrasi dan menjadi insan semula.

1a) Adakah penyalahgunaan dadah boleh memberi kesan kepada otak manusia sehingga membuatkan mereka melakukan jenayah?

Rajah 1: Spektrum Penggunaan Dadah

Penggunaan dadah bukan merupakan suatu perkara yang statik. Ia merupakan suatu spektrum (Rajah 1) di mana penyalahgunaan dadah akan menjadikan seseorang itu bergantung kepada dadah (dipanggil sebagai kebergantungan dadah). Spektrum itu bermula dengan seseorang yang tidak menggunakan atau menggunakan tetapi tidak bermasalah, Menggunakan dadah sekali-sekala, sesekali menyebabkan masalah kepada kebergantungan dadah.

Namun begitu, UNODC menganggarkan hanya 1 daripada 10 orang yang menggunakan dadah merupakan pengguna dadah yang mengalami kebergantungan kepada dadah. Kebergantungan dadah ini berlaku apabila litar kegembiraan semulajadinya diganggu oleh penggunaan dadah, menyebabkan keperluan yang mendesak untuk mengisi kelompongan dopamine semulajadi melalui penggunaan dadah. Justeru itu, individu ini akan menggunakan segala macam cara untuk mendapatkan dadah bagi memenuhi litar kegembiraan beliau. Individu ini memerlukan rawatan namun hanya 1 daripada 6 orang yang bergantung kepada dadah mendapatkan rawatan dadah. Ini berpunca daripada hanya satu rawatan khusus yang disediakan: pemenjaraan.

2) Adakah kesalahan sistem koreksional negara kita atau ada faktor lain yang perlu dipertimbangkan?

Pemenjaraan bukan satu Solusi untuk membantu pengguna dadah. Pengguna dadah perlu menerima rawatan yang disuaikan mengikut keperluan masing-masing bergantung kepada kedudukan mereka di dalam spektrum penggunaan dadah. Pemenjaraan hanya mengekang bantuan yang sepatut diberikan kepada mereka.

Faktor-faktor sosial juga perlu diambilkira seperti keperluan kewangan, keperluan pekerjaan, keperluan menaiktaraf hidup melalui pendidikan, keperluan skil sosial untuk berinteraksi dengan masyarakat, dan keperluan kesihatan seperti pengambilan methadon dan mengakses perkhidmataan Kesihatan mental disediakan sewajarnya bagi membantu pengguna dadah berintegrasi semula dengan masyarakat. Selain itu, keperluan ini juga perlu diperpanjangkan kepada keluarga mereka seperti pasangan, anak-anak dan ibu bapa supaya mereka dapat mengekalkan kestabilan keluarga dan mengelakkan kitaran ganas seperti kitaran kemiskinan dapat dicegah dan mengurangkan stigma dan diskriminasi kepada mereka.

Justeru itu, dekriminalisasi penggunaan dadah (penyahjenayahan penggunaan dadah) adalah Langkah seterusnya bagi menghilang stigma dan diskriminasi yang telah dibentuk semenjak Kempen Anti-Dadah dijalankan pada tahun 80-an. Selain itu, pemerkasaan sistem Kesihatan, sistem perundangan, sistem Kebajikan, sistem kekeluargaan, sistem Pendidikan dan lain-lain yang lebih menyeluruh perlu dilakukan bagi menyokong secara ampuh DEKRIMINALISASI.

3) Bolehkah sesiapa menghalang jenayah tersebut (crime prevention)?

Jenayah itu boleh dicegah jika bantuan sewajarnya yang menyeluruh dan komprehensif (bersandarkan kesihatan awam) telah diberikan lebih awal bagi menangani kebergantungan dadah tersebut.

4) Apa yang boleh mencetuskan suspek bertindak demikian?

Kurangnya sistem sokongan yang jitu bagi mencegah tindakan sedemikian di semua peringkat.

5) Bagaimanakah komuniti boleh membantu jika keluarga menghadapi situasi yang sama (menempatkan bekas penagih atau penagih dadah di rumah)?

Komuniti memberikan kesedaran berkaitan pengurangan kemudaratan, rawatan, sokongan bagi mengurangkan stigma dan diskriminasi terhadap pengguna dadah disamping dapat membantu pengguna ke arah pemulihan. Ahli keluarga boleh menghubungi ngo seperti Persatuan Insaf Murni Malaysia untuk mendapatkan perkhidmatan sokongan.

6) Malaysia tidak mempunyai pusat khusus untuk pesakit kesihatan mental. Kita mempunyai wad mental tetapi hanya untuk mereka yang dihantar melalui perintah mahkamah atau jika dia mengancam untuk mencederakan sesiapa atau diri mereka sendiri. Walaupun begitu, mereka yang tidak dihantar oleh mahkamah akan dihantar pulang selepas rawatan dan banyak kes, masalah berulang.

Mungkinkah kekurangan pusat di mana mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental boleh pergi untuk mendapatkan bantuan menjadi faktor jenayah seperti ini?

Tindakan untuk memulihkan kekurangan pusat khusus untuk kesihatan mental tidak disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Menurut Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) 2022 bertajuk Laporan Kesihatan Mental Sedunia: Transformasi Kesihatan Mental Untuk Semua, terdapat suatu keperluan mendesak untuk mereformasikan Kesihatan mental dan salah satunya adalah memperkasakan penjagaan Kesihatan mental dengan:

i) Membina jaringan perkhidmatan berasaskan komuniti

ii) Mengurangkan penjagaan Kesihatan mental di hospital psikiatrik

iii) Menjadikan kos Kesihatan mental berpatutan dan dapat diakses oleh semua orang

iv) Mempromosikan penjagaan berteraskan individu dan berdasarkan hak asasi manusia

v) Melibatkan dan memperkasakan individu yang telah mengalami penyakit Kesihatan mental

Justeru itu, keberadaan One Stop Centre Addiction (OSCA) di kebanyakan Klinik Kesihatan di serata Malaysia amatlah dialu-alukan dan wajar diperkasakan bagi mencapai transformasi dan reformasi penjagaan Kesihatan mental mengikut garis panduan WHO tersebut. Perkhidmatan Kesihatan mental perlu di sebarluaskan di setiap perkhidmatan Kesihatan bukan sekadar hanya di klinik khusus psikiatrik, malah di klinik khusus geriatrik, kanak-kanak, Kesihatan keluarga, Kesihatan wanita, Kesihatan ibu dan anak, dan lain-lain juga. Ini bagi memudahkan individu tersebut mendapatkan perkhidmatan tersebut bila-bila dan di mana-mana yang beliau perlukan.

Tulisan Dr Khairul, Dr Iqa, dan Rosyati

Memberi Harapan,
Memulihkan Kehidupan.

Sedia untuk memulakan babak seterusnya?